Sunday, November 7, 2010

DEFINISI CERITA JENAKA

Cerita Jenaka Melayu adalah salah satu daripada Sastera Rakyat. Setiap bangsa di muka bumi ini mempunyai cerita-cerita jenaka dalam kesusasteraan lisan mereka. Cerita-cerita tersebut dikenali dengan istilah-istilah sepertiMerry tales, tall tales, droll tales dan lain –lain. Cerita-cerita jenaka yang terdapat di seluruh dunia bukan sahaja mempunyai persamaan pada motif atau isi ceritanya, tetapi juga dalam maksud dan bentuk ceritanya. Semua cerita jenaka itu mempunyai maksud hiburan, petunjuk, sindiran, seperti yang terdapat pada cerita-cerita binatang.


 Gambaran watak adalah sangat penting dalam cerita-cerita jenaka. Melalui gambaran perwatakan tersebut dapat ditentukan kejayaan sesuatu cerita demi untuk memperlihatkan unsur-unsur kelucuan. Unsur-unsur kelucuan dalam cerita-cerita jenaka ini didasarkan kepada tindak-tanduk watak yang menggambarkan tabiat dan sifat manusia yang berlebihan. Gambaran tentang kejenakaan itu ditambah dengan keragaman penghidupan manusia dalam bentuk kelemahannya, kebodohannya, kelurusan yan melulu dan sebagainya. Gambaran seperti ini amat perlu untuk menimbulkan kelucuan dan kejenakaan
  Unsur-unsur kejenakaan ini boleh ditimbulkan dengan berbagai-bagai cara. Faktor-faktor yang boleh menimbulkan kelucuan adalah seperti yang berikut;
     1. sifat watak yang terlalu bodoh atau terlalu pintar
2. adanya unsur-unsur kebetulan dalam cerita
3. kelucuan yang ditimbulkan dari jalan cerita itu sendiri
4. adalah permainan kata-kata yang melucukan
Selain faktor di atas mungkin terdapat berbagai-bagai aspek lain yang dapat menimbulkan gambaran kejenakaan. Unsur-unsur kelucuan dalam cerita-cerita jenaka amat berbeza dengan lakonan di atas pentas yang bergantung kepada gerak-geri atau aksi seseorang pelakon itu di samping tutur katanya yang melucukan. Cerita-cerita jenaka memerlukan gambaran sifat tokoh utama yang bercorak keterlaluan dalam perbuatannya seperti terlaluan dalam perbuatannya seperti terlalu tolol atau pintar. Daripada gambaran sifat tersebut serta laku perbuatan watak itu dapat menimbulkan rasa geli hati.
       Cerita-cerita jenaka dicipta berdasarkan kebijaksanaan dan keupayaan pengarangnya untuk menimbulkan unsur-unsur kelucuan. Selalunya pengarang menggunakan kejadian yang kurang sopan atau perbuatan kebodohan atau sikap yang keterlaluan dalam melaksaankan tugas sehari-hari. Tujuan pengarang hendakmengecam sifat-sifat manusia yang kurang sopan, janggal, atau keterlaluan membuat sesuatu pekerjaan tanpa mahu bertolak ansur lagi.
        Di kalangan berbagai-bagai bangsa terdapat bermacam-macam cerita jenaka. Watak-watak lucu dalam cerita-cerita tersebut menjadi lambang sifat-sifat manusia yang sangat dikenali di dalam masyarakatnya. Terkadang-kadang cerita-cerita jenaka ini pendek-pendek mengisahkan tentang peristiwa yang lucu akibat daripada perbuatan manusia yang bodoh dan tolol. Cerita-cerita jenaka ini berkisar pada satu-satu watak tertentu atau ceritanya berbingkai mengisarkan seorang watak bodoh dalam berbagai-bagai peristiwa yang menggelikan hati.
     Cerita-cerita jenaka lahir di kalangan berbagai-bagai bangsa di dunia seperti The  Irishman di Iceland, The Abedonian di Scotland, The London Al Derman di England dan Eulenspeiged di Jerman. Bagi orang Arab, watak Khoja Nasaruddin dan Abu Nawas sering muncul dalam cerita-cerita jenaka mereka. Khoja Nasaruddin juga  muncul dalam sastera Turki, manakala suku-suku di Nusantara seperti Pak Banjir, Jaka Bodo (Jaka Dolog), Jaka Lelor, Semar, Petrok terkenal dalam sastera lisan Jawa. Dalam sastera lisan Aceh terkenal dengan watak Si Gasin Mesekin. Dalam sastera liusan Batak terkenal dengan watak-watak Si Bilolong, Ama ni Pandir, dan Si Andingkir. Di Sunda pula watak Aki Bolong terkenal dalam cerita-cerita jenaka mereka dan sebagainya.
Unsur-unsur tersebut menampakkan cerita-cerita jenaka mempunyai persamaan dengan cerita-cerita jenaka yang terdapat dalam kesusasteraan di India. Misalnya, cerita Mat  Jenin yang mengisarkan tentang watak MatJenin seorang miskin yang mengambil upah memanjat pokok kelapa. Sewaktu dia memanjat pokok kelapa dia berangan-angan bergurau dengan tuan puteri. Tanpa disedari tangannya terlepas daripada memegang pokok kelapa.  Mat Jenin jatuh lalu mati.
       Cerita-cerita jenaka seperti ini terdapat persamaannya dengan sebuah cerita dalam kesusasteraan India, iaitu Hikayat Punca Tanderan yang mengisahkan  tentang seorang Brahmin miskin yang mengambil upah menjual bertih. Dia berangan-angan menjadi kaya dan mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita yang cantik. Tetapi kerana isterinya tidak pandai menjaga anak-anaknya maka dia naik radang. Lalu dipukul isterinya dengan tongkat. Rupanya dia sedang berangan-angan, Brahmin itu terpukul periuk bertihnya. Maka habislah semua bertih tumpah ke tanah. Apabila Brahmin sedar dia sedar dia berasa amat menyesal.
      Dengan demikian cerita-cerita jenaka Melayu tidak seharusnya dianggap semuanya sebagai pinjaman dari luar kerana berdasarkan beberapa persamaan pada ciri-ciri yang tertentu.Cerita-cerita jenaka Melayu itu diciptakan oleh orang Melayu sendiri berdasarkan pengalaman yang sama dialami oleh mereka kerana watak kebodohan itu bersifat universal wujud dalam semua kebudayaan manusia. Walau bagaimanapun harus diakui terdapat juga cerita-cerita jenaka yang dipinjam dari luar seperti “cerita Abu Nawas” yang disadurkan ke dalam bahasa Melayu. Malah terkadang-kadang cerita-cerita saduran itu pula diubahsuai atau ditokok tambah oleh orang-orang setempat sehingga cerita-cerita itu menjadi sebahagian daripada warisan tradisi setempat.
      Cerita-cerita jenaka dicipta berlatarkan belakangkan masyarakat Melayu tradisi. Segala gambaran dalam cerita-cerita itu bersesuaian dengan pengalaman dan pandangan masyarakat Melayu tradisi. Dengan hal yang sedemikian cerita-cerita itu amat digemari oleh orang-orang Melayu.

Definisi Sastera Rakyat

Sastera Rakyat ialah sastera yang sepenuhnya telah dihasilkan oleh golongan rakyat jelata. Gubahannya adalah gubahan yang begitu menarik sekali dan memang menjadi kebanggaan glongan rakyat bawahan. Wujudnya Sastera Rakyat ini adalah semenjak sebelum masyarakat Melayu mengenali akan sistem tulisan. Orang Melayu pada ketika itu banyak menitikberatkan kelisanan dalam Sastera Rakyat. Kelisanan inilah yang akan menunjukkan kehebatan dan keunikan Sastera Rakyat itu sendiri. Orang Melayu hebat berfikir, menghafal, mentafsir, meluahkan dan mentafsirkan. Semuanya dalam lingkungan alam terkembang menjadi guru.

Penakik pisai siraut
Ambil galah batang lintabung
Selodang jadikan nyiru
Nang setitik jadikan laut
Nang sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru


       Setiap bahan yang diperolehi disampaikan dari mulut ke mulut dan menjadi tanggungjawab mereka untuk diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Bila situasi ini berlaku maka terdapatlah tokok tambah dalam bahan yang disampaikan.

       Setiap tokok tambah sebenarnya adalah menunjukkan kekreatifan orang-orang Melayu itu mengolah dan mentafsir sesuatu bahan yang diperolehinya. Harus diingat bahawa Sastera Rakyat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah bersifat kolektif dan kepunyaan bersama. Masing-masing bertanggungjawab terhadap apa yang diceritakan. Setiap cerita tidak sunyi dari pengaruh alam sekeliling. Malahan jika tidak terdapat pengaruh alam sesuatu bahan Sastera Rakyat itu tidak menarik dan bersifat kering serta longgar. Orang Melayu pada ketika ini juga begitu mempercayai akan anamisme dan masyarakat mereka bersifat tertutup. Tiada pengaruh dari luar.

       Setiap karya sastera pada ketika ini adalah milik bersama dan tiada tercatat nama pengarang, tarikh serta masanya. Tidak wujud langsung milik perseorangan. Kebanyakan Sastera Rakyat ini mudah difahami dan plotnya tidak berbelit-belit. Masyarakat ketika itu mementingkan akan mesej yang hendak disampaikan. Segala unsur estetiknya lahir kemudian. Kebanyakan Sastera Rakyat disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang mahir serta berkebolehan seperti Tok Selampit di Kelantan, Awang Batil di Kedah, Mir Hassan dan Pawang Ana di Perak, Penglipur Lara di Pahang, Awang Kitang di Negeri Sembilan dan Tukang Kenterung di Jawa. Penyampaian yang dibuat oleh tokoh-tokoh ini begitu kreatif dan menarik sekali serta diiringi oleh alat-alat bunyi-bunyian iaitu rebana, seruling dan sebagainya.

       Hasil daripada amalan animisme yang begitu kuat di kalangan orang-orang Melayu pada ketika itu telah melahirkan beberapa genre seperti mantera dan melalui mantera ini diwujudkan pula jampi, serapah, sembur, cuca dan sebagainya yang bertindak untuk menjaga keselamatan, kesejahteraan, maruah dan kehormatan orang-orang Melayu pada ketika itu. Lahirnya genre lain seperti teromba yang lebih bersifat undang-undang masyarakat yang begitu kuat diamalkan di Negeri Sembilan, Naning dan Minangkabau.

       Ramai yang tidak mengetahui bahawa teromba ini adalah genre yang terawal wujud dan di dalamnya terdapat pantun, mantera, syair, seloka, gurindam, peribahasa, terasul, pepatah-petitih, bidalan, ungkapan, teka-teki dan banyak lagi. Semuanya adalah bersifat berkias, menyindir dan menguji kefahaman khalayak Melayu pada ketika itu. Ramai yang tidak merasai bahawa kehebatan Melayu adalah terletak kepada genre seperti ini. Genre seperti ini juga terdapat di dalam Prosa Melayu Klasik contohnya di dalam Hikayat Malim Deman, Sejarah Melayu dan sebagainya. Teromba juga masih diamalkan dalam masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan sebahagian di Melaka. Akan tetapi ianya tersebar di kalangan orang-orang Melayu di negeri-negeri lain di Malaysia ini.

       Sastera Rakyat Melayu mempunyai banyak persamaan dengan Sastera Rakyat di negara-negara lain di dunia ini. Persamaan ini terjadi kerana persekitaran yang agak sama seperti yang berlaku di Alam Melayu. Misalnya di dalam Cerita-cerita Jenaka dan Cerita-cerita Binatang. Dalam Cerita Binatang masyarakat Melayu terkenal dengan kepintaran  Sang Kancil dan dalam masyarakat Eropah mereka lebih mengagungkan akan binatang iaitu musang. Walaupun berlainan watak binatang jalan pemikirannya masih lagi sama iaitu binatang yang cerdik dan boleh mengalahkan sesiapa sahaja menggunakan kepintarannya.

       Sastera Rakyat ini sebenarnya adalah bertujuan untuk menghibur. Harus kita ingat menghibur yang mempunyai unsur-unsur didikan dan bukannya bersifat mengkhayalkan seperti yang dianggapi oleh glongan tidak memahami. Masyarakat pada ketika itu tidak ada alat-alat hiburan yang lain seperti yang berlaku pada hari ini. Di samping itu juga ia berfungsi untuk mendidik, mengajar, kritikan dan sindiran kepada orang-orang Melayu supaya boleh menjadi masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka sudah penat bekerja seharian dan jalan keluar untuk merehatkan diri dan otak adalah melalui Sastera Rakyat. Cerita-cerita Jenaka dan Cerita Binatang termasuk genre puisi adalah berperanan besar membentuk budaya masyarakat Melayu yang sangat mementingkan budi dan muafakat.

Sifat-sifat Sastera Rakyat

                   Jelas sekali bahawa kehebatan Sastera Rakyat adalah melalui kelisanannya.
Setiap perkara adalah mementingkan hafalan. Hafalan di sini bukannya seperti kita menghafal skrip jawapan untuk peperiksaan, tapi hafalan Sastera Rakyat penuh dengan penghayatan yang boleh memberi kesan kepada khalayaknya. Disampaikan dari mulut ke mulut dan telah menjadi tanggungjawab masayarakat Melayu untuk menyebarkan Sastera Rakyat ini. Tambahan pula kebanyakan masyarakat Melayu pada ketika itu belum tahu menulis dan membaca. Namun begitu masyarakat Melayu pada ketika itu masih dapat menghasilkan Sastera Rakyat yang begitu bernilai tinggi.

       Bila Sastera Rakyat ini bersifat lisan maka sudah tentu mempunyai tukang cerita yang mahir sebagai penyampai. Di antara tukang cerita yang paling terkenal ialah Pawang Anna dan Mir Hassan. Kehebatan tukang-tukang cerita ini terletak kepada kreativitinya yang tidak ada pada bangsa-bangsa lain. Mereka menyampaikan cerita dengan lagu dan irama yang lemak merdu sehingga sedap telinga kita apabila mendengarnya. Kreatifnya mereka bila diiringi dengan bunyi-bunyian seperti rebana, gendang dan serunai. Dapat dilihat bahawa gabungan bunyi-bunyian dan suara boleh mempegaruhi masyarakat Melayu pada masa itu dan juga pada masa sekarang jika ada tumpuan apabila menghayatinya.

       Tidak terdapat langsung yang cuba mendakwa pada masa itu segala hasil karya adalah miliknya. Semuanya dikira sebagai milik bersama-sama kerana mereka lebih bersifat kolektif dalam segala hal. Tidak ada yang bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Cubit peha kanan peha kiri terasa. Kehidupan mereka sungguh akrab sekali dan tiada ada yang mementingkan hal peribadi sendiri. Masyarakat adalah lebih penting dari segala-galanya. Malu seorang malu semua. Ibarat beranak seorang mengajar ramai. Jelas sekali pada masa ini tidak ada sikap untuk penonjolan diri. Semua yang dilakukan adalah untuk kepentingan masayarakat belaka.

       Sastera Rakyat juga adalah merupakan tradisi masyarakat Melayu yang sangat bernilai sekali. Ramai yang menganggap bahawa ia sukar menerima beberapa perubahan dan bersifat statik. Pemikiran yang sebegini adalah nakal dan perlu diubah dengan segera kerana kita perlu menafsirkan semula semua Sastera Rakyat mengikut konteks hari ini. Pentafsiran haruslah secara terbuka dan penafsir mestilah mempunyai asas Melayu dan Islam secara kukuh serta jangan ditingglkan soal adat serta budaya. Sastera Rakyat sebenarnya adalah menggambarkan ketamadunan bangsa Melayu yang mempunyai akar tunjang yang begitu jitu. Diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Agak malang sekali jika kita tidak mahu meninjau dan memikirkan kehebatan Melayu di dalam teromba, pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa, cerita-cerita binatang, cerita-cerita jenaka dan sebagainya.

       Sastera Rakyat Melayu juga banyak mempunyai persamaan dengan lain-lain bangsa di dunia. Persamaan ini dari segi plot, pemikiran dan persekitarannya. Dalam cerita-cerita binatang Melayu tokoh utamanya ialah Sang Kancil dan di kalangan masyarakat Red Indian watak utamanya ialah Serigala, di kalangan bangsa Vietnam watak pentingnya ialah Kelinci. Terdapat juga cerita yang terkenal iaitu Belanda minta tanah di Betawi. Di Amerika pula terkenal sekali cerita orang Peranchis minta tanah dari orang Red Indian dengan cara meminta tanah selebar belulang sehingga mendapat tanah yang lebih luas. Semuanya adalah dengan cara yang tidak betul iaitu penipuan.

       Dalam perkembangan Sastera Rakyat ia bersifat dinamik dan bukan satu benda yang mati walaupun telah menjangkau di era globalisasi. Terdapat banyak perubahan mengikut pembawa, pencerita dan penggiatnya. Segala tokok tambah ini bukannya menunjukkan kelemahan tetapi adalah atas kepentingan setempat serta untuk menyampaikan mesej. Setiap Sastera Rakyat Melayu berubah mengikut penyesuaian setempat dan ianya tidak bersifat komersial untuk kepentingan diri sendiri. Kita harus mentafsir sesuatu cerita Sastera Rakyat Melayu secara ilmiah dan benar-benar cuba untuk mengalami dan menghayati. Jika ditafsir secara emosi kita tidak akan dapat jumpa jawapan sebenar. Misalnya cerita Mat Jenin sebenarnya adalah cerita perancangan rapi orang-orang Melayu yang bercita-cita untuk cemerlang, gemilang dan terbilang akan tetapi penamatnya telah diselewengkan oleh orientalis barat atas tujuan penjajahan.

       Kebanyakan hasil Sastera Rakyat Melayu adalah berkaitan dengan kehidupan harian mereka. Mereka nampaknya sudah mula mencari suatu perlarian untuk sama-sama membantu masalah yang mereka hadapi setiap hari. Lahirlah cerita-cerita hantu, dewa dewi dari kayangan, mantera, jampi, serapah dan sebagainya. Kepercayaan anamisme seperti ini begitu kuat menjadi pegangan mereka. Lahirlah ciptaan mereka dengan menggunakan bahasa-bahasa yang indah dan ada kaitan dengan alam.

       Plot Sastera Rakyat Melayu adalah mudah dan senang difahami. Namun begitu cuma dalam cerita Penglipur Lara sahaja plotnya berbelit-belit dan sejajar dengan ceritanya yang wujud dalam alam yang tidak nyata. Nilai-nilai sasteranya akan dapat kita rasai jika kita mempunyai penghayatan yang tinggi. Pertembungan watak-watak dalam cerita ini boleh memberi kesan kepada khalayak.

       Orang-orang Melayu mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan Sastera Rakyat memainkan peranan untuk menyampaikan mesej dan membawa pengajaran. Setiap perlakuan dalam masyarakat jika hendak dikritik adalah secara tidak langsung dan berkias. Masyarakat Melayu mempunyai nilai budi yang begitu tinggi dan mereka tidak mahu memalukan orang lain secara nyata. Setiap teguran adalah dibuat secara kiasan dan menggunakan bahasa yang berlapis. Begitulah sopannya bangsa Melayu walaupun marah masih lagi secara beradab dan bukan marah mengikut nafsu sahaja.

       Jika kita ingin melihat adat, budaya dan resam bangsa Melayu kita boleh lihat melalui Sastera Rakyatnya. Melaluinya juga kita boleh lihat tahap pemikiran bangsa Melayu itu sendiri.  Sastera Rakyat ini juga adalah sastera Melayu yang tertua dan banyak berfungsi untuk menyapaikan maklumat kepada bangsanya sendiri.  Keindahan dan kehebatan Sastera Rakyat Melayu ini adalah terletak kepada kelisananya dan apabila dituliskan maka yang tersirat akan beransur-ansur tenggelam. Jika mampu digali Cuma boleh dilakukan oleh orang yang mahir sahaja. Penyalinan semula Sastera Rakyat Melayu dalam tulisan rumi juga adalah suatu kelemahan kerana ketulinan cerita akan hilang. Selain itu menjadi anak muda Melayu menjauhi tulisan jawi. Pati kehebatan orang-orang Melayu sebenarnya masih banyak terakam dalam tulisan jawi.

No comments:

Post a Comment