Sunday, November 7, 2010

PeNgertIAN alomorf

Sebelum meneliti hal-hal yang berkaitan secara langsung dengan pengajaran imbuhan bahasa Melayu, kita mestilah terlebih dahulu mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan imbuhan itu sendiri. Setelah mengetahui apa itu ‘imbuhan’, tarafnya dalam tatabahasa dan tingkahlakunya dalam hubungannya dengan bentuk perkataan, barulah difikirkan cara-cara mengajarnya di bilik darjah.
Dalam ilmu bahasa (linguistik), istilah morfem terikat digunakan untuk maksud ‘imbuhan’ dalam tatabahasa. Berdasarkan maksud morfem terikat itu, maka ‘imbuhan’ merupakan satuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai makna. Cara untuk menguji kandungan makna yang ada pada imbuhan itu bukanlah dapat dilihat daripada segi yang terhurai dalam sesebuah kamus. ini kerana imbuhan merupakan satu satuan yang terkecil yang tidak boleh berdiri dengan bebas sebagai perkataan. Oleh sebab itu, makna bagi imbuhan tidak dapat dilihat dalam kamus tetapi haruslah dilihat berdasarkan penggunaannya pada perkataan tertentu yang hadir dalam ayat. Walaupun tidak dapat dilihat maknanya dalam bentuk huraian sebagai makna leksis (makna seperti yang terhurai dalam kamus), makna imbuhan lebih bersifat kenahuan. Maksudnya, makna imbuhan hanya dapat diketahui apabila ia terpakai melalui perkataan terbitannya dalam ayat.
Makna imbuhan bermaksud makna tatabahasa yang dibawakan oleh imbuhan-imbuhan tertentu melalui perkataan-perkataan terbitannya dalam ayat-ayat. Dengan makna tatabahasa imbuhan-imbuhan dimaksudkan makna yang berbeza dalam kesatuan tatabahasa dengan makna yang termaksud pada kesatuan tatabahasa yang lain dalam ayat. Secara ringkasnya, makna imbuhan ialah makna yang terbawa oleh imbuhan yang sama pada bentuk perkataan yang lain dalam ayat. Imbuhan juga lebih dikenali sebagai suatu bentuk morfem.
Pengwujudan morfem disebut alomorf atau varian morfem. Dalam erti kata yang lain alomorf itu tidak lain dari morfem dalam penggunaannya yang sebenar. Sesuatu morfem itu sekurang-kurangnya mempunyai satu alomorf. Tidak ada morfem yang tidak mempunyai alomorf; misalnya, morfem awalan di- mempunyai satu alomorf, sedangkan me- mempunyai enam alomorf seperti me-, mem-, men-, meng-, meny-, dan menge-.
Pada dasarnya, alomorf terbahagi kepada dua jenis iaitu alomorf lingkungan dan alomorf bebas. Alomorf lingkungan adalah alomorf yang didasarkan pada lingkungan-lingkungan tertentu, yakni lingkungan fonologi, lingkungan nahu atau lingkungan leksikal. Sifat alomorf lingkungan ialah saling mennyisihkan, yakni sesuatu alomorf lingkungan tidak dapat menggantikan yang lain.
Alomorf <me->, <mem->, <men-> termasuk dalam kumpulan alomorf lingkungan fonologi. Alomorf jenis ini merupakan alomorf yang wujudnya ditentukan oleh ciri bunyi atau ciri-ciri fonologi yang ada di sekitarnya. Misalnya: memutih, membaca, menjawab dan sebagainya.
KONSEP FONETIK

o   Fonetik ialah cabang ilmu linguistik yang meneliti selok-belok bunyi bahasa yang hanya dihasilkan oleh manusia dalam pertuturan. Bunyi-bunyi yang seakan-akan bunyi bahasa atau bunyi-bunyi lain ataupun bunyi-bunyi yang selain bunyi bahasa yang dihasilkan oleh bukan manusia tetapi menyerupai bunyi bahasa manusia, hatta bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia yang bukan daripada organ-organ sebutan manusia ataupun bunyi-bunyi lain yang cara penghasilannya bukan yang diucapkan oleh alat-alat pertuturan manusia ataupun bunyi yang mungkin dihasilkan oleh alat artikulasi tetapi tidak digunakan dalam pertuturan, misalnya bunyi batuk, bunyi siulan, bunyi sendawa, bunyi dehem, bunyi berdengkur dan yang seakan-akannya bukanlah dalam penelitian ilmu fonetik. Ertinya bunyi-bunyi yang tidak digunakan dalam pertuturan manusia bukanlah dalam penelitian ilmu fonetik dan bunyi-bunyi bahasa yang menjadi fokus ilmu fonetik hanyalah bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ-organ sebutan manusia dalam pertuturan. Jadi, hal ini jikalau dihalusi bererti fonetik meneliti bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ-organ sebutan manusia dalam pertuturan daripada segi cara pengeluarannya, daerah pengeluarannya dan alat-alat pengucapan yang terlibat dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa.

o   Di samping bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ-organ sebutan manusia itu, bidang fonetik juga meneliti penyampaian dan penerimaan bunyi bahasa. Maknanya aspek penelitian fonetik ada tiga.  Penelitian yang pertama, iaitu penelitian penghasilan bunyi bahasa yang diucapkan oleh alat-alat pertuturan manusia dalam berkomunikasi itu dikenali sebagai pengkajian fonetik artikulasi. Penelitian yang kedua ialah penelitian penyampaian bunyi bahasa, iaitu bagaimana arus udara bergetar antara mulut penutur ke telinga si pendegar itu dikenali sebagai pengkajian fonetik akustik. Manakala yang terakhir ialah penelitian penerimaan bunyi bahasa dalam proses pendengaran, iaitu bagaimana nada, kelantangan, kepanjangan dan kualiti bunyi serta tindak balas pendengar untuk mengetahui rangsangan fizikal yang didengarinya itu dikenali sebagai pengkajian fonetik auditori.



No comments:

Post a Comment