Wednesday, February 9, 2011

FONETIK ARTIKULASI

FONETIK ARTIKULASI

o   Fonetik artikulasi ialah cabang fonetik yang meneliti cara dan pendeskripsian sesuatu bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia berasaskan alat-alat pertuturan dalam artikulasi. Pendeskripsian ini melibatkan alat artikulasi atau artikulator. Artikulator yang terlibat dalam proses penghasilan bunyi bahasa dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu artikulator bahagian dada, tekak dan kepala.
o   Artikulator bahagian dada seperti  paru-paru (lungs) dan batang tenggorak (trachea). Artikulator bahagian tekak seperti pangkal tenggorok (larynx), pita suara (vocal cords), krikoid (cricoid), tiroid (thyroid) atau halkum, aritenoid (arythenoids), farinks (pharynx) atau dinding rongga kerongkong, dan epiglotis (epiglottis). Artikulator bahagian kepala pula boleh bersifat statik dan sebaliknya kerana boleh bergerak dan sebaliknya. Malahan, artikulator ini juga dianggap sebagai alat artikulasi aktif dan pasif. Artikulator yang terlibat dalam proses penghasilan bunyi bahasa bahagian kepala ini dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu artikulator aktif dan artikulator pasif / daerah artikulasi pasif.

ARTIKULATOR AKTIF

o   Artikulator aktif ialah artikulator yang digunakan bagi menghasilkan bunyi bahasa. Artikulator aktif tidak bersifat statik kerana boleh bergerak. Malahan, artikulator ini disifatkan sebagai alat artikulasi aktif. Antaranya adalah seperti anak tekak (uvula), akar lidah (root of the tongue - hump), belakang lidah (back of the tongue - dorsum), tengah lidah (middle of the tongue - medium), daun lidah (blade of the tongue -  laminal), hujung lidah (tip of the tongue - apex), gigi bawah (lower teeth - denta), dan bibir bawah (lower lip - labia). Manakala artikulator pasif ialah bahagian yang menjadi tempat sentuhan artikulator aktif yang digunakan tatkala menghasilkan sesuatu bunyi bahasa.

ARTIKULATOR PASIF

o   Artikulator pasif atau daerah artikulasi pasif ini bersifat statik kerana tidak boleh bergerak. Malahan, artikulator pasif  disifatkan sebagai alat artikulasi pasif. Antaranya adalah seperti gelungan (retroflex), lelangit keras (hard palate - palatum), lelangit lembut (soft palate - velum), gusi lelangit keras (alveolar ridge), gigi atas (upper teeth - denia), bibir atas (upper lip - labia), mulut (mouth), rongga mulut (mouth cavity / oral cavity), dan rongga hidung (nose cavity / nasal cavity).
o   Pendeknya, fonetik artikulasi ialah bidang yang meneliti penghasilan bunyi pertuturan oleh alat pertuturan manusia, iaitu bagaimana seseorang penutur itu menghasilkan bunyi dengan menggunakan alat pertuturan dan cara bunyi itu diklasifikasikan dan dideskripsikan. Alat ujaran yang bergerak untuk menghasilkan bunyi bahasa disebut artikulator atau artikulator aktif. Antara contoh artikulator adalah seperti lidah, gigi bawah dan bibir bawah. Manakala daerah yang disentuh atau didekati oleh artikulator disebut daerah artikulasi. Antara contoh daerah artikulasi adalah seperti gigi atas, gusi atas,          bibir atas, anak tekak, lelangit keras dan lelangit lembut. Oleh sebab adanya artikulator aktif dan pasif inilah yang menjadikan timbulnya penamaan bunyi-bunyi bahasa seperti bunyi letupan dua bibir bersuara, letupan dua bibir tidak bersuara, geseran lelangit keras bersuara, geseran lelangit keras tidak bersuara dan sebagainya. Sebagai contoh, apabila dua bibir terkatup, daerah artikulasinya ialah bibir atas, sedangkan bibir bawah bertindak sebagai artikulator. Dengan itu bunyi yang terhasil dinamakan sebagai bunyi bilabial (‘bi’ bermakna ‘dua’ dan ‘labial’ bermakna ‘bibir’). Bunyi [b], [p], [m] ialah bunyi bilabial.

Pendapat Lain tentang Fonetik Artikulasi

o   Setiap peneliti atau linguis mempunyai pendekatannya sendiri apabila menjelaskan perihal fonetik artikulasi. Antaranya yang telah mengemukakan pendapat mereka tentang fonetik artikulasi adalah seperti yang berikut:
Abdul Hamid Mahmood dan Nur Farah Lo Abdullah (2007: 17) menjelaskan bahawa “fonetik artikulasi mengkaji bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dikeluarkan oleh alat-alat artikulasi”.
Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006: 1) berpendapat bahawa fonetik artikulasi ialah satu bidang kajian mengenai cara kita menggunakan alat dan daerah artikulasi bagi bertutur.
Nor Hashimah Jalaluddin (2000: 12) berpendapat bahawa fonetik artikulasi ialah bidang kajian mengenai pemerhatian ahli fonetik yang menggunakan x-ray untuk melihat bagaimana pergerakan udara yang digandingkan dengan pergerakan organ-organ pertuturan dan juga koordinasi kesemua pergerakan itu sehingga terhasilnya bunyi. Tegasnya, pemerhatian itu termasuklah bagaimana pergerakan lidah, rahang, bibir dan sebagainya, di samping cuba merakamkan posisi dan pergerakan lidah, lelangit lembut dan pita suara. Malahan tegasnya lagi bahawa bidang kajian itu juga mengenai pemerhatian dan/ atau mengambil gambar melalui cermin, contohnya bagi melihat pergerakan pita suara dengan menggunakan alat “laryngoscopic”, manakala alat “electromyography” pula digunakan untuk mengesan dan mengukur bilangan kecil potensi elektrik yang digabungkan dengan penekanan otot pada tahap yang relevan dalam terusan ujaran. (Contoh gambar tentang alat-alat itu yang boleh diperoleh daripada Colin Painter: An Introduction to Instrumental Phonetics, 1979: 198 & 208 ada dikemukakannya.)

FONETIK AKUSTIK

o   Fonetik akustik ialah cabang fonetik yang meneliti ciri-ciri fizikal atau sifat bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia berasaskan alat-alat pertuturan itu sendiri, iaitu bagaimana  gelombang udara dari paru-paru mengalami perubahan yang disebabkan oleh gangguan yang dibuat oleh artikulator atau alat artikulasi seperti pita suara, lidah, bibir dan sebagainya yang membawa bunyi bahasa itu ke telinga pendengar. Penelitian terhadap ciri-ciri fizikal atau sifat bunyi bahasa yang menggunakan sejenis alat yang dikenali sebagai spektrogram itu melibatkan bunyi nada, kelantangan dan kepanjangan. Dengan menggunakan spektrogram bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia itu dapat ditentukan tahap frekuensi dan tahap lebar gelombang dan getaran bunyi pada sesuatu masa. Hasil kajian melalui penggunaan spektrogram mendapati bahawa setiap orang mempunyai nada yang berbeza, lebih-lebih lagi jika dibandingkan antara jantina. Sebagai contoh nada suara seorang perempuan didapati tahap frekuensi dan tahap lebar gelombang dan getaran bunyinya jauh lebih tinggi berbanding dengan nada suara seorang lelaki. Hal ini kerana nada suara seorang perempuan mempunyai 240 pusingan bagi setiap saat, sedangkan nada suara seorang lelaki hanya 150 pusingan bagi setiap saat. Malahan, kajian yang dilaksanakan dengan menggunakan spektrogram juga mendapati bahawa bunyi vokal hadapan berbeza dengan bunyi vokal belakang.  Bunyi vokal hadapan nadanya lebih tinggi, manakala bunyi vokal belakang nadanya lebih rendah. Contoh bunyi vokal hadapan dalam bahasa Melayu ialah bunyi [i] dan [e], dan bunyi vokal belakang dalam bahasa Melayu ialah bunyi [u] dan [o]. Demikianlah halnya dengan bunyi-bunyi bersuara yang disebabkan getaran pada pita suara berbanding dengan bunyi-bunyi tidak bersuara yang disebabkan oleh tiada getaran pada pita suara didapati nada bunyi-bunyi bersuara lebih tinggi tahap frekuensi dan tahap lebar gelombang dan getaran bunyi berbanding dengan bunyi-bunyi tidak bersuara. Hasil kajian melalui penggunaan spektrogram juga mendapati bahawa bunyi  konsonan dan suku kata dalam bahasa Melayu mempunyai tahap kelantangan yang berbeza. Hal ini kerana faktor yang mempengaruhi perbezaan itu berpunca daripada tekanan udara dari paru-paru. Maknanya apabila bunyi konsonan atau suku kata itu ditekan, tekanan udara bertambah dan kesanya menghasilkan bunyi yang lebih lantang. Antara contoh tahap kelantangan bunyi konsonan dalam bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh tekanan udara dari paru-paru ialah penghasilan bunyi konsonan [s], [z] dan [ลก] didapati lebih lantang berbanding dengan penghasilan bunyi konsonan [f] dan [v].

FONETIK AUDOTORI

Fonetik auditori ialah cabang fonetik yang meneliti bunyi berasaskan pendengaran terhadap bunyi bahasa yang dihasilkan, iaitu proses yang terjadi tatkala seseorang menerima bunyi dan bagaimana telinga dan otak bertindak terhadap gelombang bunyi itu didengar sebagai persepsi bahasa. Fonetik auditori juga meneliti penerima bunyi yang berasaskan nada, kelantangan dan kualiti bunyi.
Pendapat Lain tentang Fonetik Auditori
Setiap peneliti atau linguis mempunyai pendekatannya sendiri apabila menjelaskan perihal fonetik auditori. Antaranya yang telah mengemukakan pendapat mereka tentang fonetik auditori adalah seperti yang berikut:
Abdul Hamid Mahmood dan Nur Farah Lo Abdullah (2007: 17) menjelaskan bahawa “fonetik auditori merupakan kajian yang berkaitan dengan pendengaran terhadap bunyi-bunyi yang dihasilkan supaya bunyi-bunyi itu dapat diperturunkan ke dalam lambang-lambang yang tepat.
Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006: 1) berpendapat bahawa fonetik auditori ialah kajian fonetik yang mendeskripsikan cara bagaimana kita memproses dan menginterpretasi bunyi-bunyi yang dihasilkan.
Nor Hashimah Jalaluddin (2000: 83) berpendapat bahawa fonetik auditori  ialah bidang kajian berkenaan pendengaran dan proses yang wujud apabila kita menerima bunyi dan bagaimana bunyi itu dirasai. Tegasnya, fonetik auditori melibatkan otak dan telinga. Tambahnya lagi, gelombang bunyi yang sampai ke telinga sebenarnya ialah getaran mekanikal bagi partikel-partikel udara. Manakala bunyi yang boleh didengar dan dirasa itu tentunya mempunyai jurang frekuansi dan kepadatan tertentu.


























1 comment: